590 Peserta Meriahkan Lik Lau Fun Run 2019

Sumber foto: www.facebook.com/ppaiq.official

Balik Pulau – Seramai 590 orang peserta yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di sekitar Pulau Pinang dan juga beberapa negeri lain termasuk Kedah dan Selangor telah menyertai program Lik Lau Fun Run 2019 anjuran Pusat Pendidikan Al-Itqan selaku penganjur utama program dengan kerjasama IKRAM Pulau Pinang, Pertubuhan Pemuda GEMA Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Seven Star Gym pada Sabtu lalu di sini.

Pegawai Dana Pusat Pendidikan Al-Itqan (AL-ITQAN), Hasyyaty Hamzah berkata, program ini merupakan satu platform untuk menyebarkan informasi mengenai Sekolah Rendah Islam Al-Itqan dan Sekolah Menengah Islam Al-Itqan dalam kalangan penduduk setempat. Acara ini juga diharap boleh menjadi pemangkin kepada amalan gaya hidup sihat yang sering kali diabaikan oleh masyarakat pada hari ini.

“Di samping itu, pihak penganjur juga berhasrat ingin mengeratkan silaturrahim antara kakitangan, guru-guru, ibu bapa, anak-anak serta masyarakat sekitar yang turut serta,” kata Hasyyaty.

Acara larian sejauh 6.5 km itu telah bermula seawal 6.45 pagi dengan aktiviti senaman aerobik yang diketuai oleh jurulatih dari Seven Star Gym dan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Aidi Akhbal Bin Mohamed Zainon di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh ADUN Pulau Betong, YB Tuan Haji Mohd Tuah Ismail sambil diiringi oleh Yang Di-Pertua IKRAM Pulau Pinang, Tuan Haji Isahak Ismail tepat pada jam 7.15 pagi.

Menurut Hasyyaty, semua pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Itqan telah telibat dalam acara larian ini dan sebahagian pelajar dari Sekolah Rendah Islam Al-Itqan juga turut menghantar penyertaan.

Hadiah cabutan bertuah juga turut ditawarkan kepada 50 orang peserta dan 50 orang sukarelawan yang terlibat. Antaranya, basikal, televisyen, penyaman udara, telefon pintar, dapur gas, penyedut hampagas dan ketuhar.

“Kami percaya program ini telah mencapai objektifnya dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penaja termasuk IKRAM Pulau Pinang, Tok Mak Enterprise dan Syarikat Cap Keluarga. Tidak lupa juga kepada semua sukarelawan yang terlibat, anggota keselamatan dari JPAM dan anggota polis trafik Balik Pulau,” ujar Hasyyaty lagi.

Sumber foto: www.facebook.com/ppaiq.official

Turut hadir memeriahkan acara larian ini ialah Yang Di-Pertua IKRAM Barat Daya Pulau Pinang, Md Zabri bin Md Zain, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Pulau Pinang, Mohamad Akhtar bin Ibrahim, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Al-Itqan, Prof Madya Dr Abd Halim bin Abd Aziz dan Pengarah Eksekutif Pusat Pendidikan Al-Itqan, Mohamad Yusoff Omar.

Acara larian ini berakhir sekitar jam 10.30 pagi.