Wafiy dari SRI i-Musleh Raih Anugerah Permainan Pendidikan Terbaik

Wafiy Bin Ammar, pelajar tahun 4 dari SRI i-Musleh, Melaka.

Seri Kembangan - Siapa menyangka Wafiy Bin Ammar, 10 tahun, pelajar tahun 4 dari Sekolah Rendah Islam i-Musleh merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Permainan Pendidikan Terbaik bagi kategori peserta berusia 7-12 tahun dalam MRT Scratch Cup 2019 anjuran My Robot Time Asia dengan kerjasama International Youth Robot Association (IYRA), International Youth Robot Competition (IYRC), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari Selasa lalu.

Menurut Dr. Asma' binti Abdul Aziz, anaknya itu mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan permainan berkenaan berdasarkan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh penganjur seperti permainan tersebut mestilah sesuai untuk kanak-kanak seusia, ada nilai pendidikan, menarik dan merupakan idea asal.

"Wafiy mula berkenalan dengan coding ini dalam tahun lepas ketika melihat iklan. Bagi pertandingan ini pula, ada ibu bapa pelajar dari SRI i-Musleh berkongsi maklumat mengenainya dan Wafiy terus berminat untuk mencuba," ujar beliau ketika ditanya mengenai penglibatan awal Wafiy dalam dunia pengekodan. 

Bercerita mengenai halangan yang dihadapi oleh Wafiy semasa menyiapkan projek berkenaan, Asma' mengatakan bahawa pernah beberapa kali projek terpaksa dibuat semula dari awal akibat masalah muat turun Scratch di komputer. Namun perkara tersebut tidak mematahkan semangat anak sulungnya itu. 

"Kadang-kadang saya akan datang kepada beliau untuk melihat perkembangan projek berkenaan dan memberikan pandangan. Selebihnya Wafiy bangunkan program tersebut sendiri. Saya sendiri tidak tahu apa-apa tentangnya (coding). Ayahnya juga membantu Wafiy merakam video manual instructions tentang bagaimana permainan tersebut dimainkan," tambah beliau lagi.

Beliau dan suaminya, Ammar Bin Abdul Rahman turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan Wafiy.

"Kami, selaku ibu bapa, berasa sangat gembira dan pada masa yang sama juga, sangat bersyukur sebab tidak menyangka yang Wafiy akan menang. Kebanyakan peserta lain ada kelas coding di sekolah masing-masing, Wafiy pula hanya belajar sendiri di rumah. Kami harap dengan anugerah ini, Wafiy akan lebih berkeyakinan diri dan menambah minat beliau dalam bidang tersebut."

Tambahnya lagi, pemenang dalam MRT Scratch Cup ini layak untuk bertanding di peringkat Asia.

"Kami harap Wafiy dapat buat yang terbaik untuk piala Asia pula. Semoga dengan kemenangan ini, lebih ramai lagi pelajar-pelajar kelahiran IKRAM Musleh akan mencuba minat dan belajar mengenai coding. Kemahiran ini merupakan salah satu kemahiran asas atau basic literacy untuk anak-anak di era digital. Ibu bapa boleh bantu anak-anak untuk faham teknologi dan mendidik mereka kemahiran menyelesaikan masalah seperti sabar, cuba jaya, serta faham sebab dan akibat," ujar beliau mengakhiri perbualan.

MRT Scratch merupakan bahasa pengaturcaraan atau pemprograman berasaskan blok dan komuniti dalam talian yang disasarkan terutamanya kepada kanak-kanak. Pengguna-pengguna tapak boleh membuat projek dalam talian menggunakan blok antara muka. Perkhidmatan ini dibangunkan oleh MIT Media Lab dan telah diterjemahkan ke dalam lebih 70 bahasa serta digunakan di kebanyakan tempat di dunia. Scratch adalah alat yang ideal untuk mengajar anak-anak cara kod. Selain itu, ia dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah kerajaan Asas Sains Komputer (ASK) di KSSM. MRTScratch digunakan untuk membangunkan permainan interaktif dan kanak-kanak boleh menggunakan MRTScratch untuk belajar sambil mencipta permainan mereka sendiri.

Senarai nama penuh pemenang boleh dilihat di http://iyrccodingcontest.com/.