Perutusan : Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH

Perutusan : Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
16hb Mei 2019


TERIMA KASIH CIKGU

Bismillahirrahmanirahim wassolatu wassalamu ala rasulillah wa ala alihi wasohbihi wa man tabi'ahu wa ba'du.

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya – amiin. 


Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah diberi peluang menyambut Hari Murabbi IKRAM Musleh 2019 dalam suasana peralihan iklim politik dan pentadbiran negara. Semoga pentadbiran Malaysia Baharu ini akan membuahkan hasil yang lebih baik dalam usaha kita memartabatkan pendidikan Islam – amiin.

Para murabbi yang dikasihi

Kita juga amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982, bukan sahaja telah mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan mampu bersaing dengan sekolah-sekolah tersohor peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dalam kesempatan ini, marilah kita sama-sama mengucapkan Jazakumullah Khairal Jaza’ kepada semua yang terlibat semenjak dari awal penubuhan institusi pendidikan IKRAM, khususnya para muallimin dan muallimat, para pendidik, para murabbi murabbiah, yang telah bertungkus lumus berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini. Moga-moga Allah SWT mengurniakan ke atas mereka ganjaran yang setimpalnya. Mudah-mudahan mereka akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

Terima kasih Cikgu.

Saya harap janganlah sekali-kali kita lupa, pelbagai cabaran pahit manis yang telah diharungi oleh para pendidik terdahulu dalam menjayakan sistem pendidikan yang kita inginkan. Kejayaan dan kenikmatan yang kita rasai kini, adalah hasil daripada usaha mereka. Maka wajarlah kita sebagai kumpulan pewaris meneruskan perjuangan ini tanpa mengurangi semangat dan kesungguhan orang terdahulu. Sesungguhnya saya dapat melihat bahawa para pendidik sekarang bukan sahaja dapat menghayati semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para pengasas kita, malahan telah mencapai kejayaan di luar jangkaan.

Kita perlu ingat bahawa prestasi sesuatu pergerakan mungkin akan menurun, apabila generasi terkemudian, yang tidak mengalami keperitan yang dialami oleh pejuang sebelumnya, tidak mengambil tahu, mengambil berat dan cakna dengan perjuangan orang-orang terdahulu yang telah mengasaskan perjuangan pergerakan tersebut. Alhamdulillah kita yakin para pendidik IKRAM Musleh terus berkobar-kobar semangatnya. Para pendidik telah dan akan terus memainkan peranan utama dalam menentukan sistem pendidikan kita berkembang pesat.

Terima Kasih Cikgu.

Seperti yang kita maklumi, perlaksanaan proses pendidikan bermula dengan pernyataan falsafah pendidikan yang menggariskan matlamat sesuatu sistem pendidikan. Ini diikuti dengan penggubalan kurikulum berasaskan pendekatan pedagogi yang terkini. Di akhir proses perlaksanaan kurikulum, para pendidiklah yang menjayakan atau menggagalkan hasrat kurikulum tersebut. Yakni, pendidiklah penghubung terakhir yang tersangat penting dalam rantaian perlaksanaan kurikulum.

Dalam konteks IKRAM Musleh, kita bermula dengan matlamat berasaskan proses, yang berhasrat untuk menjadikan murid kita seorang insan Rabbani. Kemenjadian murid ditaksir dengan mengambil kira, sejauh mana murid telah berjaya menghayati ciri-ciri insan Rabbani tersebut. Oleh itu, para pendidik dituntut untuk menjadi seorang Murabbi. Sebagai penghubung terakhir kepada hasrat kurikulum, peranan pendidik amatlah penting. Tanggungjawab untuk memastikan proses kemenjadian murid yang holistik terlaksana dengan baik, bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak bolah dilaksanakan secara sambilan. Komitmen yang menyeluruh, bersepadu, seimbang dan berterusan diperlukan pada setiap masa.

Terima Kasih Cikgu.

Hasrat murni yang dihayati IKRAM Musleh untuk melahirkan insan Rabbani sudah pasti memerlukan pendidik yang bukan sahaja komited tetapi juga mempunyai ilmu dan kemahiran sesuai dengan tuntutan pendidikan masa kini, lebih-lebih lagi sistem pendidikan yang bermatlamat melahirkan insan Rabbani.

Hakikatnya, insan Rabbani adalah proses kemenjadian yang berterusan dan tidak mempunyai penghujung. It is a process of being and not the state of being. (Ia adalah proses menjadi seseorang dan bukannya keadaan seseorang). Peranan pendidik amatlah penting dalam menentukan hasrat ini terlaksana.

Dalam perhatian saya, kerjasama terbaik telah ditunjukkan oleh para pendidik misalnya mereka tidak pernah jemu terlibat aktif dalam program-program yang dianjurkan oleh IKRAM Musleh dengan hasrat untuk menambahbaik sistem pendidikan sedia ada.

Terima Kasih Cikgu

Para pendidik di semua institusi pendidikan IKRAM kini, giat menjalani pelbagai jenis kursus bagi meningkatkan profesionalisme keguruan mereka, misalnya kursus Syahadah Perguruan Lepasan Ijazah IKRAM Musleh. Seperti dimaklumi, kursus tersebut kini dilaksanakan di 7 Pusat Zon di seluruh negara iaitu di Al-Azhar Jitra, Hira’ Klang, Al-Amin Bangi, As Saidiyah Seremban, Hidayah Johor Bahru, Al-Amin Kemaman dan Aman Kota Bharu)

Para pendidik juga sedang giat menjayakan projek-projek sekolah-sekolah cemerlang iaitu:-

1. Matematik dan Sains – SRI Hidayah JB
2. Bahasa Arab – SRI Al Amin Bangi
3. Ilmu Syariah – SMI Al Amin Kemaman
4. Bahasa Inggeris – SMI Hira’ Jeram

Terima Kasih Cikgu.

Murid-murid juga diberi peluang pendedahan program-program kepimpinan, kemasyarakatan dan silang budaya, bukan setakat di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Inisiatifinisiatif ini adalah bertujuan meningkatkan kemampuan murid-murid dalam kolaborasi, komunikasi, kreativiti dan pemikiran kritikal berasaskan akhlak, adab dan aqidah islamiah. Hasilnya, murid-murid IKRAM Musleh mempamerkan keyakinan diri yang tinggi sehingga mereka telah meraih kejayaankejayaan luar biasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Alhamdulilah.

Terima Kasih Cikgu. Semoga Allah SWT memberkati dan meredhoi usaha-usaha para pendidik semua, baik di sekolah atau dalam masyarakat. Impian kita ialah untuk membina generasi yang menegakkan Islam dalam semua konteks kehidupan baik di peringkat individu, masyarakat mahupun dunia.

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH 2019.

Terima Kasih Cikgu

Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Kluster Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia