Kaderisasi Daie: Kepimpinan Melalui Teladan

 

Sebahagian para peserta bergambar kenangan.

Pendang, 23 Apr - Jadilah qudwah hasanah di mana sahaja kita berada dan pada bila-bila masa, ujar Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif Pendidikan IKRAM Musleh kepada 204 orang peserta program I’dad Du’at 2019 anjuran Jawatankuasa Tarbiyah IKRAM Musleh yang berlangsung pada 20-22 April lalu di Pendang Lake Resort, Kedah.

Beliau berkata, “Semua yang hadir ke program ini perlu berpegang kepada visi besar dan bukan sekadar memainkan peranan dalam keluarga, malah perlu berperanan dan menjadi contoh teladan dalam masyarakat demi membangun negara, ummah dan manusia sejagat.”

Beliau turut menekankan peri pentingnya budaya kolaborasi atau kerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan menzahirkan rasa puas hati terhadap program yang telah dijalankan serta berharap agar para peserta pulang dan menjadi peribadi duat yang mantap dan thabat sekali gus bersedia menjadi pelopor kepada kebangkitan ummah.

 

Ustaz Soleh Senafi, Pengarah I'dad Du'at 2019

Sebelum itu, Ustaz Soleh Senafi, selaku Pengarah Program I’dad Du’at 2019 turut mengingatkan para peserta mengenai tugas dan tanggungjawab daie yang perlu sentiasa peka dengan mad’u yang berada di sekeliling kita khususnya ibu bapa, ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga.

“Para du’at perlu sentiasa mengoptimumkan peluang yang ada untuk menyantuni mereka yang dekat dengan kita agar terwujud lingkungan generasi muslim di sekeliling kita yang bukan sahaja memahami ilmu tetapi mampu mengamalkannya serta menyampaikannya kepada orang lain dengan cara yang betul,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, seorang daie perlu sentiasa bersedia dari sudut fikrah dan material bagi memastikan kelangsungan usaha dakwah.  Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat, IKRAM Negeri Kedah dan Pulau Pinang serta berharap agar program ini mampu menyuntik semangat dan memotivasikan para pelajar untuk menggerakkan usaha-usaha dakwah yang boleh dilaksanakan bagi memacu perubahan.

I’dad Du’at merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh bahagian tarbiyah yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar yang terpilih tentang asas gerak kerja dakwah dan memberi panduan tentang perancangan gerak kerja dakwah yang boleh dan sesuai dilaksanakan. Program tahunan ini telah disertai oleh 103 orang pelajar perempuan, 101 orang pelajar lelaki, 21 orang guru pengiring dan kira-kira 15 orang ahli jawatankuasa pelaksana. Turut hadir 5 orang penyampai bahan untuk 7 slot sepanjang program tiga hari dua malam tersebut.