Memaknai Pendidikan Hikmah dalam Membentuk Peribadi Seimbang

Sepang - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), USIM, merangkap Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Profesor Dato' Dr. Siddiq Fadzil berkata, pendidikan atau membina manusia itu perlu ada hikmah dan bukan hanya fokus kepada menyampaikan ilmu sahaja. 

"Allah telah menyampaikan pesan-pesan pendidikan melalui seseorang yang telah Allah berikan hikmah seperti yang tertulis dalam Surah Luqman. Pesan-pesan pendidikan tidak diungkapkan begitu sahaja tetapi telah diberi oleh seseorang yang telah diberi hikmah oleh Allah. Apa yang lebih istimewa lagi dalam kisah ini ialah Luqman al-Hakim adalah bapa dan juga seorang guru. Seorang guru itu harus bersikap seperti bapa yang berpesan kepada anaknya dan pesan itu mestilah untuk membina. Tidak ada bapa yang ingin memusnahkan hidup anaknya."  

Jelasnya, perlumbaan kita pada hari ini sepatutnya bukan lagi perlumbaan untuk mendapatkan ilmu sahaja tetapi perlumbaan untuk menguasai hikmah.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama beliau yang bertajuk “Memaknai Pendidikan Hikmah dalam Era Revolusi Industri 4.0” dalam majlis penutup persidangan Islamic Education Foresight and 4th Industrial Revolution 2018 (iFIRST2018) anjuran bersama Kedutaan Amerika Syarikat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pendidikan IKRAM MUSLEH Berhad (IKRAM MUSLEH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA pada 13 Disember 2018 yang lalu.

Beliau turut mengupas 3 komponen asas pendidikan yang telah digunakan oleh Luqman al-Hakim iaitu merangkumi asas akidah, asas syariat dan asas akhlak yang mana ketiga-tiganya adalah komponen yang universal dan abadi serta tidak boleh dikompromi atau diubah dalam melahirkan karakter muslim yang kuat. 

"Kita telah lama mengabaikan objektif pendidikan yang terpenting iaitu pembinaan karakter dan peribadi. Akhlak manusia ini harus dibina mengikut acuan akhlak Allah. Dalam al-Quran, Allah banyak sekali berfirman mengenai akhlak atau sifat-Nya dan di akhir ayat, Allah menyambung -- begitu juga manusia. Manusia dalam batas keterbatasannya, juga memiliki sifat-sifat yang disebutkan dan jika kita menghayati sifat-sifat Allah, nescaya akan lahirlah peribadi-peribadi yang seimbang," sambungnya. 

Lanjut beliau, manusia harus meneladani tuhan dalam memiliki peribadi yang seimbang.

"Jika Allah hanya bersifat Ar-Rahman sahaja tetapi tidak diimbangi dengan sifat lain seperti Al-Jabbar, maka pincanglah alam ini. Dalam konteks Revolusi Perindustrian 4.0 ini, mari kita tanya diri kita, betapa indahnya ciptaan manusia dalam Revolusi Perindustrian 4.0 hari ini, lalu manusianya bagaimana? Adakah teknologi ciptaan manusia hari ini membantu untuk melahirkan manusia yang lebih baik? Arkitek yang lahir hari ini adalah arkitek yang hebat tetapi adakah dia manusia yang lebih baik?" tanya penerima Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 ini lagi kepada kira-kira 100 orang tetamu yang hadir dalam majlis penutup termasuk para peserta persidangan.

Sebelum itu, Penasihat Kanan Kedutaan Amerika Syarikat, Encik Sadayan Riazurrahman, wakil Puan Yang Terutama Kamala Shirin Lakhdhir menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan iFIRST 2018 dan turut menyatakan kesediaan pihak kedutaan memperuntukkan dana bagi program-program akan datang untuk IKRAM Musleh dan ABIM.

Pada kesempatan yang sama juga, Pemangku Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, Dr. Arif Fahmi Mohd Yusof, sebagai wakil rasmi kepada Naib Canselor USIM, Prof Dato' Dr Musa Ahmad turut menyatakan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dan bertungkus lumus menjayakan persidangan ini.

Turut hadir bersama dalam majlis penutup iFIRST2018, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dan Timbalan Presiden ABIM, Encik Mohd Khairul Anwar bin Ismail. 

Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor turut terlibat sebagai salah seorang panel pembentang dalam Perbincangan "Islamic Education Tradition and Contextualizing Islamic Education in Malaysia: The New Narrative" dalam membentangkan projek International Quality Range Assessment (IQRA). IQRA merupakan satu projek yang dibangun bersama oleh beberapa agensi pendidikan nasional dan juga internasional termasuk IKRAM Musleh bagi memperkenalkan satu kaedah baru dalam menilai kemenjadian diri para pelajar.