Pelajar Sekolah IKRAM Musleh Bina Kematangan Melalui Pengalaman Silang Budaya

[Peserta pelbagai bangsa dalam satu kumpulan.]

Kuala Lumpur- Semalam telah berlangsung Pertandingan Seni Kolase Pendidikan Berbilang Bangsa sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang bakal disambut pada 21 Februari nanti. Pertandingan ini melibat 4 kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal. Pertandingan anjuran Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Tamil Foundation, Jaringan Orang Asal SeMalaysia dan IKRAM ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah khususnya di kawasan Selangor.

Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan ineraksi antara kaum serta memupuk nilai hormat-menghormati antara individu dan kaum. Selain untuk menyebarkan falsafah "Hidup Berbilang, Makmur Bersama", pertandingan ini juga diharapkan dapat mengetengahkan kepentingan bahasa ibunda dan pendidikan berbilang bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Para peserta juga akan terdedah dengan kepelbagaian bahasa dan cara berkomunikasi yang berbeza antara masyarakat berbilang kaum yang ada di negara kita.

Setiap peserta yang mendaftar untuk pertandingan ini dibahagikan kepada 5 kumpulan yang terdiri daripada 8 orang dan setiap kumpulan mestilah terdiri daripada keempat-empat bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal. Terdapat 3 buah sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH yang menyertai pertandingan ini iaitu SMI Al-Amin Bangi, Maahad Tahfiz As-Saidiyyah dan SMI Al-Amin Usahawan Bangi. Dengan menggunakan kreativiti dan idea masing-masing, mereka menggunakan bahan-bahan terpakai seperti botol air, surat khabar, ranting-ranting dan pelbagai lagi bahan kitar semula dan bahan semula jadi untuk menghasilkan karya mereka.

Semoga setiap peserta dapat memperoleh manfaatnya dan akan membuat persembahan mengenai karya mereka dengan mantap pada hari esok nanti!

[Para peserta bersama hasil karya masing-masing.]