Isu Pendidikan Islam Isu Bersama

Sepang – “Kita perlu menyatukan hati. Bukan sahaja sesama Muslim bahkan juga dengan bangsa lain. Sentiasa duduk bersama. Kita makan bersama dan bekerja bersama,” saran YB Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Bin Malik dalam ucaptama beliau yang bertajuk “Pendidikan Islam dan Revolusi Perindustrian 4.0” sebelum beliau merasmikan majlis pembukaan Persidangan Islamic Education Foresight and 4th Industrial Revolution 2018 (iFIRST2018) anjuran bersama Kedutaan Amerika Syarikat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (IKRAM Musleh) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pagi tadi di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA di hadapan kira-kira 90 orang tetamu yang hadir termasuk para peserta persidangan daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

Beliau turut menyebut dalam ucapannya mengenai usaha SMI Hidayah Johor Bahru yang telah saban tahun melakukan aktiviti silang budaya antara para pelajarnya dengan para pelajar Sekolah Menengah Foon Yew dan menggalakkan semua institusi pendidikan untuk mencontohi usaha ini.

“Individu Muslim hari ini harus menjadi contoh. Muslim bukan lagi hanya memberikan respons dan menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi harus menjadi pemimpin dan menunjukkan jalan” tambah beliau lagi. 

Ucapan beliau itu adalah bagi menyambut baik usaha pihak Kedutaan Amerika Syarikat dalam memartabatkan pendidikan Islam. Dalam ucapannya, Duta Besar Amerika Syarikat, Puan Yang Terutama Kamala Shirin Lakhdir berkata, “Mengapa kami berusaha bersungguh-sungguh menganjurkan pelbagai program dan mengambil berat tentang pendidikan Islam ini? Hal ini adalah disebabkan kerana kami fokus kepada kesan jangka panjang. Kami ingin membentuk masyarakat yang lebih baik. Kami banyak belajar daripada kalian dan begitulah juga sebaliknya.”

Dalam kesempatan yang sama, beliau turut mempromosikan pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat seperti Program Bahasa Inggeris di Rompin, Pahang, di Tawau, Sabah dan yang terbaru akan diadakan di sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh di Kelantan. Selain itu, pihak kedutaan juga ada menganjurkan program Youth Exchange Students (YES) yang menawarkan program pertukaran pelajar selama 6 bulan kepada para pelajar Tingkatan 5 untuk menetap bersama keluarga angkat di sana dan belajar di sekolah-sekolah yang terdapat di Amerika Syarikat.

“Kedutaan Amerika Syarikat juga telah genap 10 tahun menjalankan program International Visitor Leadership Program (IVLP) dan sebahagian pesertanya ada di dalam dewan ini dan saya mengucapkan selamat datang kepada semua alumni IVLP,” ujar beliau sambil disambut dengan tepukan gemuruh.

Beliau turut menyatakan hasrat beliau agar generasi akan datang bukan sahaja perlu menjadi orang yang bijak tetapi juga perlu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Sebelum itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pendidikan Islam seharusnya kekal relevan kepada generasi kemudian dalam mendepani cabaran era milenium. Beliau turut menyatakan harapan pihak penganjur agar persidangan ini mampu menjadi platform kepada para pendidik dan cendiakawan untuk meneroka wawasan baru Pendidikan Islam pada masa akan datang selain berkongsi pendapat dan pandangan dalam usaha mendidik anak bangsa yang bukan sahaja mantap dari sudut intelek dan kemahiran tetapi juga mempunyai hubungan yang hebat dengan Allah.

Turut hadir dalam majlis pembukaan berkenaan ialah Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor dan Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim. Persidangan yang membawa tema Meneraju Pendidikan Islam yang Holistik dalam Menghadapi Masa Depan ini akan berlangsung bermula hari ini hingga 13 Disember 2018.

Gambar ihsan: USIM

Membentuk Warga dalam Mencorak Masa Depan Negara

 

SERDANG – “Malaysia Baharu perlu nilai tambah yang lebih lestari iaitu individu dan masyarakat soleh yang mengisi negara kita lalu mengangkat suatu tamadun mulia dan ia memerlukan dakwah Islamiah inklusif rahmatan lil alamin. Persoalannya, di mana kita?” tanya Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia merangkap ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM, Hj Jusni Yusoff kepada lebih 283 hadirin yang terdiri daripada para Pengurus Tarbiah, para pendidik dan staf sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang hadir dalam Majlis Taklimat Tarbiah IKRAM Musleh (MTTIM) 2018 yang berlangsung pada 1 Disember 2018, Sabtu lalu di Auditorium Rashdan Baba, UPM.

Memetik surah Ali-Imran, ayat 164, beliau turut mengingatkan bahawa para pendidik adalah penyambung risalah dan tugas membangun dan mentarbiah insan adalah satu tugas yang mulia.

“Selain murid-murid, para guru, para kakitangan, para ibu bapa, pembekal-pembekal, jiran-jiran, pihak berkuasa dan sekolah-sekolah lain juga antara kumpulan sasaran dalaman dan persekitaran yang patut kita santuni agar mesej yang kita bawa menerobos ke setiap akar umbi,” tambah beliau lagi dalam slotnya yang bertajuk “Menerobos Akar Umbi: Peranan Amal Dakwah dan Tarbiah Muallimin dan Muallimat di Sekolah Rendah Islam dan Sekolah Menengah Islam.”

Sementara itu, majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang itu turut diserikan lagi dengan ucaptama daripada seorang ilmuan terkenal di dalam dan juga di luar negara, Yang Berbahagia Tan Sri Emeritus Prof. Ulung Dr. Mohd. Kamal Hassan yang bertajuk “Hubungkait antara Ilmu Sains dan Tarbiah Islamiah.”

Dalam ucaptamanya, beliau mengatakan bahawa orang-orang yang mempunyai akal yang murni dan bersih dari kekotoran serta sedar terhadap realiti Hari Akhirat, mereka amat bimbang seandainya pada Hari Akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka akibat daripada aktiviti, kelakuan atau sikap mereka yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT.

“Lantas mereka memohon ampun dan belas kasihan Allah SWT atas kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Sikap ūlū al-albāb saperti itulah yang harus dijadikan model ikutan oleh para ilmuwan yang mendalami ilmu sains.  Sifat-sifat dan sikap sedemikian merupakan natijah daripada tarbiah Islamiah, satu proses pembangunan insan secara holistik dan bersepadu yang berlainan sama sekali dengan proses pendidikan sains sekular dan moden,’ sambung beliau.

Perbincangan menarik mengenai ucaptama yang disampaikan itu dirancakkan lagi dengan perkongsian bermanfaat daripada Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa, Associates Professor Dr. Nur Jannah Hassan mengenai “Sains Tabi'i Dari Pandangan Semesta Al-Qur'an: Suatu Paradigma Penting dan Perlu dalam Tarbiah” bagi meningkatkan kesedaran para pendidik bahawa sains dan tarbiah saling berkait rapat terutamanya dalam membina generasi pada hari ini.

Kemudian, pada sebelah petang pula, Konsultan Pendidikan IKRAM Musleh, Sheikh Abdul Hamed Eliwa meneruskan lagi sesi pertemuan dengan pengisiannya yang santai dan bersahaja bertajuk “Kepentingan Tarbiyah dan Pembinaan Insan.” Beliau menjelaskan mengenai ciri-ciri yang perlu ada dan diamalkan oleh pendidik dalam mendidik generasi Rabbani yang memiliki sepuluh sifat tarbiah sepertimana yang disenaraikan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Majlis ini merupakan program tahunan IKRAM Musleh dan tema yang dibawakan kali ini ialah Murabbi IKRAM Musleh: Daie, Murabbi, Mujahid. Terdapat pelbagai gerai jualan yang dibuka sepanjang majlis berlangsung antaranya gerai jualan buku-buku tarbiah dari Iman Shoppe, One Syabab, Risalah Harmoni, Ukhuwah Corner Books atau IBooks dan juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta gerai-gerai jualan roti, kekacang dan lain-lain.

Sokong Peruntukan Bajet Kerajaan 2019 Kepada SAR dan Sekolah Agama Persendirian

 

Kenyataan Media

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (IKRAM Musleh)

23 November 2018 / 15 Rabiulawal 1440H

 

SOKONG PERUNTUKAN BAJET KERAJAAN 2019 KEPADA SAR DAN SEKOLAH AGAMA PERSENDIRIAN

 

Pendidikan Ikram Musleh (IKRAM Musleh) menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian diberi peruntukan dalam Bajet Kerajaan 2019 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan dua hari lalu.

 

Terdapat lebih 19,000 orang murid dan pelajar sekolah di bawah naungan IKRAM Musleh. Usaha pendidikan ini telah dilakukan oleh IKRAM Musleh di 50 buah sekolah rendah dan menengah Islam (SRI-SMI) yang mula ditubuhkan sejak tahun 1985.

 

Semua SRI-SMI di bawah naungan IKRAM Musleh wajib berdaftar dengan KPM, wajib menggunapakai kurikulum kebangsaan KPM dan semua pelajar wajib menduduki peperiksaan awam.

 

IKRAM Musleh menegaskan bahawa peruntukan bajet kerajaan 2019 kepada SAR dan sekolah-sekolah agama persendirian adalah hak yang mesti ditunaikan oleh kerajaan secara tetap dan bukan berkala.

 

IKRAM Musleh yakin peruntukan bajet kerajaan 2019 kepada SAR dan sekolah-sekolah agama persendirian akan meningkatkan kepercayaan rakyat bahawa kerajaan PH benar-benar bersungguh dalam usaha membangun bukan sekadar infrastruktur dan perkhidmatan yang berkualiti tetapi juga dan yang lebih penting lagi membangun rakyat Malaysia yang bermanfaat kepada keluarganya, masyarakat dan negara ke arah satu peradaban yang sejahtera demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

 

Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor

Pengarah Eksekutif

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad

No. Tel: +60 19-2687058

Dr Maszlee Iringi Pelepasan Kontinjen KRS Musleh ke KEMNAS IV

15 Nov, Sepang - Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia telah meluangkan masa untuk hadir dalam Majlis Pelepasan Kontinjen KRS Musleh ke Kem Ukhuwah Nasional (KEMNAS IV-2018) di Buperta, Cibubur, Jakarta, Indonesia pada jam 5.00 pagi tadi di ruang legar pintu pelepasan antarabangsan, KLIA 2.

"Seramai 297 anggota KRS Musleh dari 27 buah sekolah rendah dan menengah rangkaian IKRAM Musleh termasuk pegawai-pegawai, guru-guru pengiring dan para pelajar akan berlepas ke sana hari ini melalui tiga penerbangan pada pagi ini," ujar Mejar Abd Rahaim Md Isa selaku ketua rombongan kontinjen KRS Musleh ke Jakarta kali ini.

Menurut beliau, KEMNAS IV ini akan berlangsung selama 4 hari 3 malam di tapak perkhemahan Buperta Cibubur, Jakarta, Indonesia dan dijangkakan sejumlah 14, 000 orang anggota dari Indonesia dan Thailand termasuk dari Malaysia akan berada di sana.

"Kontinjen KRS Musleh akan berada di sana lebih lama iaitu bermula hari ini, 15 November hingga 22 November untuk melakukan lawatan sambil belajar di Taman Sains, Jakarta dan juga melawat Sekolah Ummul Qura, Bogor dan Desa Bantar Sari, Bogor selepas perkhemahan tamat," tambah beliau lagi.

Turut serta dalam rombongan ke Jakarta ini adalah Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh.