Minda IKRAM-Musleh #4 : WASIAT AGAMA LEBIH PENTING DARI WASIAT HARTA

Ramai ibu bapa risau dengan apa akan terjadi kepada anak-anak mereka selepas kematian mereka. Mereka khuatir adakah anak-anak boleh 'survive' dalam dunia yang mencabar. Apa mereka nak makan? Apa harta nak wariskan pada mereka?

Tetapi nabi-nabi Allah tidak sedemikian. Mereka risau bukan tentang harta. Mereka khuatir tentang agama dan aqidah anak-anak mereka. Wasiat mereka bukan wasiat harta, pesan mereka bukan pesan wang ringgit. Tetapi wasiat mereka ialah wasiat agama dan aqidah.

"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".

"Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)".
Al-Baqarah: 132-133

Begitulah juga kita sepatutnya memberi penekanan dan keutamaan kepada aqidah dan agama anak-anak kita.

Kita bukan sahaja perlu prihatin tentang bagaimana mereka akan menyara kehidupan mereka tetapi kita perlu juga risau "adakah anak-anak kita mampu menjadi Muslim sejati?"

Kita perlu didik bagaimana mereka akan menghidupkan aqidah dan amalan Islam dalam setiap juzuk kehidupan.

Kita perlu asuh bagaimana mereka boleh menjadikan hidup mereka sebagai ibadah kepada Allah.

Jika kita memberi 'priority' yang betul, kita tidak akan ber"kira" dalam menghadapi cabaran mendidik mereka. Kita akan peruntukkan lebih masa dan wang ringgit untuk pendidikan agama anak-anak kita.

Hanya dengan itu anak-anak akan dapat menjalani kehidupan yang sejahtera di samping memakmurkan negara dan melestarikan bumi dengan penuh tanggung-jawab. Dan akhirnya mereka bertemu Ilahi dalam keadaan Muslim yang diredai.

Prof Omar Yaakob
Pengerusi JK Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia